31 October 2007



Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat islam dan semoga sambutannya dibuat dengan penuh tanda kesyukuran kepada yang Esa.

Ramai kenalan yang memberi ucapan siap dengan madah dan puisi melalui SMS. Sama ada SMS yang dikirim hasil kretiviti sendiri atau mengolah atau mengubahsuai hasil buah fikiran orang lain saya sendiri tidak pasti. Di sini saya kongsikan SMS yang saya terima untuk anda semua :-

" Tiada pemberian yang terindah selain maaf dan tiada perbuatan yang mulia selain memaafkan"

"Pelita dipasang penarik seri, Ramadhan diganti si Aidilfitri, mesej pendek pengganti diri, tanda persaudaraan sentiasa diingati"

"Bila dalam janji pernah termungkir, dalam kata bercampur dusta, dalam canda berpura-pura, dalam hati tersalah sangka, dalam diam terlajak kira, dalam batin keliru duga, ramadhan kian berlalu, maafku pinta, rela diharap, kepada Allah jua kita mohon ampun maghfirah"

"Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi, dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa, dalam kelembutan lidah ada keterlanjuran kata, dalam gurauan ada senda adaketerlanjuran dan dosa"

"Satu dua tiga empat hoorey raya dah dekat, one two three four bayar fitrah jangan lupo"

"Kian berlabuh tirai ramadhan, lambaian syawal kian dinanti, luhur hati ikhlas amalan, moga segala ibadah diberkati"

"Kambing ranggi naik LRT, katak pisang tercekik tulang, walau SMS saja yang diberi, itu tandanya ingatan tak hilang"

"Biar renggang difana dunia, biar hina di mata manusia, biar semangat semakin tua, biar akal semakin dewasa, biar manusia mengejar dunia, biar tinta lapuk oleh masa, biar suratan menentu usia, namun tidak tergadai silaturrahim antara kita"

"Indahnya dunia hanya sementara, indahnya cinta hanya seketika, indahnya mimpi kadang tak pasti, indahnya persahabatan sukar dicari ganti"

Emmmm..... hebat kata-kata dan mudah-mudahan terlaksana kerana telah menjadi FITRAH dalam diri kita saling bermaafan di Hari Raya dan mengeratkan silaturrahim antara kita.

11 October 2007

MISI ANGKASAWAN NEGARA

Tahniah buat semua yang terlibat dalam menjayakan Misi Angkasawan Negara Malaysia yang pertama. Negara telah menyaksikan pelepasan kapal angkasa Soyuz di Baikonur Kazakhstan sekitar 09.30 malam waktu Malaysia yang membawa Dr. Sheik Muszaphar Shukor untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa ISS. Semoga misi ini berjaya seterusnya menjadi peransang dan pembakar semangat kepada kita semua untuk terus melakar kecemerlangan. Dengan FITRAH yang ada kita semua mampu untuk berjaya.

05 October 2007

KECUAIAN MANUSIA PUNCA PENINGKATAN KADAR KEMALANGAN JALAN RAYA

Saban tahun kita dikhabarkan dengan peningkatan kadar kemalangan jalan raya ketika musim perayaan. Sehingga hari ini belum ada ubat atau formula yang berkesan bagi 'mengubatinya'. Kita sering diperdengarkan punca kemalangan adalah disebabkan antaranya faktor cuaca, keadaan jalan dan kecuaian manusia.

Namun demikian apabila dilihat dengan lebih mendalam kemalangan jalan raya berpunca daripada satu sebab iaitu 'kita' yang gagal merancang. Mengapa tidak lebih berhati-hati ketika dalam keadaan cuaca buruk? Mengapa tidak dibaiki keadaan jalan yang rosak dan tidak selamat untuk digunakan? dan banyak lagi persoalan yang boleh diajukan untuk menyatakan kegagalan kita dalam merancang.

Cuba kita lihat kecuaian manusia dalam konteks yang lebih luas. Manusia cuai dalam mamastikan kenderaan berada dalam keadaan baik. Manusia juga cuai dalam pemanduan. Malah manusia cuai menyediakan infrastruktur yang selamat. Ini bermakna kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian manusia. Tapi siapa manusia?

Maka wajarlah kita memainkan peranan sebagai manusia bagi mengurangkan atau mensifarkan kemalangan jalan raya. Jangan gadaikan FITRAH kita sebagai manusia untuk kepentingan sendiri.

04 October 2007

AIDILFITRI KIAN TIBA

Umat islam akan menyambut hari raya tidak lama lagi. Ramai dikalangan kita sibut membuat persiapan dan ada juga yang belum berkesempatan membuat persiapan kerana sibuk dengan tanggungjawab dan tugas. Bagaimana dengan kita..... adakah telah membuat persiapan untuk menyambut hari kemenangan. Persiapan bukan sekadar dengan pakaian baru, hiasan rumah baru, kereta baru, perhiasan diri baru dan kuih muih.....tetapi amalan yang sepatutnya kita lakukan... itulah FITRAH kita sebagai hamba di dunia ini.