
Alhamdulillah. Kupanjatkan rasa syukur dengan penuh keinsafan atas kurniaan-Nya. Kini hidupku lebih sempurna dengan kehadiran puteri Hannah pada tanggal 06 September 2011.
Tahun 2011 menyaksikan buat pertama kali dalam hidupku dan isteri terpaksa menyambut 1 syawal tanpa menikmati hidangan ketupat rendang yang disediakan ibu atau ibu mentua. Aku dan isteri meraikan kehadiran 1 syawal bersama putera sulung Harraz dirumah sendiri. Sewaktu itu isteriku sedang sarat mengandung pada usia kandungan 38 minggu. Kami mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung kerana bimbang berhadapan dengan sebarang kemungkinan kelahiran diluar jangkaan. Dikampung, hospital yang paling hampir memerlukan perjalanan sejauh 40 km dengan keadaan jalan kampung yang semestinya sibuk dengan peningkatan jumlah kenderaan yang banyak sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri.
Hari Raya Haji tahun ini pula amat bermakna. Pengorbanan kami semua kerana tidak dapat meraikan 1 syawal bersama ibu bapa di kampung beberapa bulan yang lalu telah menceriakan suasana sambutan Hari Raya Haji baru-baru ini yang kami sambut bukan sahaja bersama ibu bapa, malah dengan kehadiran ahli keluarga baru seorang puteri. Sesungguhnya nikmat dan kurniaan Allah swt amat besar buat hambanya.