22 March 2023

Berkarya Kraf Seni Halus

Rasanya lama sangat dah tak berkarya kraf ni. "Awal minggu persekolahan sesi Mac 2023 ada majlis bersara Cikgu Sofia" ujar isteri yang kini mengajar di sekolah yang sama dengan Cikgu Sofia. "Tema jawa" ujarnya lagi. Lalu dia menunjukkan carian google imej tema jawa dalam telefon bimbitnya. Gambar tatarias hiasan kepala tema jawa. "Mama nak buat 'crown' macam gambar ni lah. Agak-agak kita boleh buat tak?"  soal isteri. "Oh senang je ni. Nanti kita beli bahan-bahannya" jawab ku ringkas.

Isteri memang serah kerja-kerja tangan halus kat aku. Menjahit lencana, pasang penyangkuk seluar anak,  jahit kain dan seluar anak yang tetas jahitan dan lain-lain tugas jahitan tangan mudah memang menjadi tugas tu. Maklumlah suaminya mewarisi 'skill' jahitan dari ibunya yang mengambil upah menjahit baju di kampung. Aku pun memang suka kerja-kerja menjahit ni.



Setelah membeli bunga manik, scaf dan beberapa peralatan hiasan manik di kedai gubahan bunga dan barangan menjahit, aku mula berkarya seni tanganlah. Hasilnya tidaklah seberapa tapi bolehlah mencapai piawaian yang isteriku impikan. 




Buat Cikgu Sofia selamat bersara dan terima kasih atas khidmat mendidik anak bangsa sejak 1989. Usia kami masa tu baru darjah 5. Kami mengenali Cikgu Sofia apabila isteriku mula mengajar satu sekolah dengan Cikgu Sofia sekitar tahun 2009. 

27 March 2022

RAFFLESIA LATA JARUM, ULU DONG, RAUB




Kali terakhir aku menyaksikan bunga spesis pakma ni sewaktu menyertai program anjuran tempat kerja di Royal Belum pada tahun 2015. Kebetulan waktu kehadiran aku ke sana pada waktu itu dimaklumkan terdapat kuntuman bunga pakma yang sedang berkembang. Rezeki kami dapat menyaksikan dihadapan mata buat pertama kali bunga spesis pakma atau yang dikenali sebagai bunga rafflesia. 

Tahun 2022 buat sekian kalinya aku berpeluang melihat bunga pakma. Tapi kali ini bukan di utara semenanjung. Aku berkunjung ke sebelah pantai timur di kawasan Hutan Simpan Gunung Benom. Spesis pakma ini boleh juga ditemui di Lata Jarum, Ulu Dong, Raub. Di sini ada spesis pakma 6 kelopak. Untuk ke lokasi melihat spesis pakma kali ini aku menggunakan khidmat Persatuan Malim Gunung Raub. Kami turun seramai 12 orang dari kalangan rakan hiking kenalan aku. Seawal 9.00 pagi kami telah mula melangkah memasuki Hutan Simpan Gunung Benom. 30 minit perjalanan kami tiba di lokasi tumbuhan spesis pakma yang sedang berkembang. Kami turut melalui laluan berhampiran pokok tualang. Cuma kali ini kami tidak berpeluang melihat puluhan sarang lebah yang bersarang di pohon tualang. "Belum masanya lebah-lebah bersarang di situ." Ujar Hj.Azam yang merupakan juru pandu kami dari Persatuan Malim Gunung Raub.

Trip jejak rafflesia kali ini turut melalui kawasan sungai bawah tanah dan laluan mata air semula jadi. Aku dapat mengambil peluang minum air mineral semula jadi dari celah batuan disini.




Trip kali ini sangat santai kerana lokasi bunga pakma berkembang hanya di kaki gunung. Jam 9.00 pagi memulakan jejak tak sampai pukul 11.00 pagi kami telah tiba semula ke lokasi parking kereta. Sebelum bergerak pulang ke Putrajaya kami meninjau sekitar kawasan Lata Jarum yang menyajikan pemandangan indah dan deruan air terjun yang pastinya mendamaikan.

Itulah FITRAH hidup manusia yang mendambakan kedamaian dan ketenangan. Moga kita menjadi insan yang tidak mendustakan nikmat. Allahuakbar.